Datuk Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Polis akan merakam keterangan semua pihak termasuk ibu, bapa, rakan-rakan dan pihak sekolah bagi membantu siasatan kes seorang remaja melarikan diri dari sebuah asrama di Cheras, di sini akibat dibuli berulang kali.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan pihaknya menerima laporan polis daripada keluarga mangsa pada tengah hari semalam.

“Baru semalam kita menerima laporan polis dari ibu mangsa dan kita memulakan siasatannya.

“Kita kelaskan kes ini di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan akan dijalankan oleh D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur

“Kita akan panggil semua untuk bantu siasatan baik pihak sekolah, ibu,bapa dan rakan-rakan bagi membantu siasatan dan kes ini sebab kita mahu tahu punca sebenar remaja itu melarikan diri,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pagi tadi.

Sebelum ini media melaporkan bahawa seorang pelajar sebuah sekolah berasrama penuh, Muhammad Danial Akmal Zulkhairi, 14, telah dilaporkan hilang dari sekolahnya dan tidak pulang ke rumah.

Kemudian pelajar itu ditemui sehari kemudian oleh orang awam di pondok menunggu bas di hadapan Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak sebelum mangsa mendakwa dibuli oleh beberapa pelajar lain di sekolahnya dan menjadi trauma.

Anak sulung daripada tiga beradik itu masih menerima rawatan selepas dimasukkan ke HCTM sejak 9 Disember lalu.

Ibu mangsa, Shuhada Jamaludin, 38, berkata, akibat kejadian buli itu anaknya yang mesra disapa sebagai Enel bertindak nekad melarikan diri dari sekolah pada 8 Disember lalu sebelum ditemui sehari kemudian.

Shuhada berkata, tindakan perundangan akan diambil oleh pihaknya berhubung kejadian buli itu yang didakwanya sudah berulang kali terjadi, selain mengelak perbuatan itu berulang lagi ke atas anaknya selepas ini.-MalaysiaGazette