Datuk Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu suspek lelaki untuk membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki tempatan tanpa pakaian yang bekerja sebagai akauntan ditemui di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru pada awal 11 Disember lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan polis.

Katanya, motif pembunuhan masih disiasat polis dan telah mengenal pasti suspek.

“Manakala reman ke atas dua rakan kenalan mangsa sejak 12 Disember lalu akan tamat pada hari ini.

“Kita akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pandangan dan arahan lanjut dalam kes ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur pagi hari ini.

Pada 11 Disember lalu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin mengesahkan bahawa pihaknya menemui mayat seorang lelaki tempatan yang merupakan akauntan syarikat swasta di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru.

Katanya, mayat lelaki tempatan itu ditemui orang awam sekitar jam 6 pagi dalam keadaan meniarap dan tidak berpakaian disyaki dibunuh.

Katanya, kes sedang disiasat dibawah 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati.

Berikutan penemuan mayat itu, polis berjaya menahan dia suspek lelaki yang merupakan rakan kenalan mangsa dan direman seminggu bagi membantu siasatan lanjut.-MalaysiaGazette