Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berucap ketika sidang media hasil tangkapan dan kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Mes Pegawai Kanan, IPK Selangor. Foto NUR SYADILA AMARI, 19 DISEMBER 2023.

SHAH ALAM – Angkara cemburu menjadi punca seorang wanita mati ditikam berkali-kali sehingga terkena jantung oleh teman lelakinya di Jalan Bayu Tinggi 5, Taman Chi Liung, Klang dekat sini Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, sebelum itu berlaku pergelutan antara kedua-dua pasangan itu sebelum ditikam suspek ketika berada di tempat parkir kereta.

“Motif setakat ini menunjukkan ia berkaitan dengan kes cemburu yang membawa kepada kejadian pembunuhan tersebut. Suspek dan mangsa adalah pasangan kekasih.

“Kejadian itu berlaku dalam masa singkat, selepas makan tengah hari, mereka pergi ke tempat parkir dan berlaku tikaman tersebut.

“Sebelum ini berlaku pergelutan semasa hendak masuk ke dalam kereta yang merupakan milik suspek,” katanya dalam sidang media di Mess Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

PETUGAS perubatan memeriksa mayat seorang wanita sebelum mengesahkan kematiannya dalam satu kejadian bunuh dekat Taman Chi Liung di Klang, Selangor.

Beliau bagaimanapun memaklumkan polis masih menyiasat untuk mengetahui punca timbul insiden cemburu dan tempoh kedua-duanya menjalinkan hubungan serta butiran pekerjaan mereka.

Sasikala juga mengesahkan mangsa serta suspek yang berusia 44 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu merupakan warga tempatan.

Semalam media melaporkan, seorang wanita ditemui maut selepas ditikam berkali-kali pada bahagian hadapan dan belakang badan sehingga menembusi jantungnya.

Wanita malang berusia 26 tahun itu dipercayai ditikam seorang lelaki menggunakan sebilah pisau sebelum dibawa masuk ke tempat duduk hadapan sebuah kereta jenis Chevrolet berwarna perak.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya merima maklumat daripada seorang wanita tempatan lain yang membuat panggilan berhubung kejadian itu.

Suspek kemudian ditahan reman oleh Mahkamah Majistret Klang selama tujuh hari sehingga 25 Disember ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung atau penjara sehingga 40 tahun dan 12 kali sebatan. – MalaysiaGazette