KUALA LUMPUR – Daging dan tulang lembu sejuk beku dianggarkan bernilai kira-kira RM250,000 yang disyaki diimport dari Australia berjaya dirampas di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor Mohd Sobri Md Hashim berkata, rampasan barang seberat 1,780 kilogram itu dilakukan rentetan daripada pemeriksaan mengejut pihak berkuasa pada jam lebih kurang 4 petang pada hari kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati dikemukakan dokumen sijil halal yang mengandungi maklumat mengelirukan.
“Semakan awal juga mendapati hasilan haiwan yang dibawa masuk oleh syarikat tempatan itu mempunyai permit import sah daripada Maqis.
“Akan tetapi, pemeriksaan lanjut mendapati tarikh penyembelihan dinyatakan dalam sijil halal tidak sama dengan maklumat yang tertera pada kotak dan pembungkus daging,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, barang rampasan ini sedang disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengisytiharkan maklumat yang mengelirukan.
“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diberi perhatian di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian.
“Langkah ini bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan,” tegas beliau lagi.-MalaysiaGazette