Petugas Bulan Sabit Merah Palestin mengeluarkan mayat penduduk yang maut dalam serangan Israel.

GAZA CITY – Kempen serangan ganas tentera penceroboh ke atas Gaza pada hari ke-74 menyaksikan sebanyak 19,667 penduduk terbunuh di wilayah Palestin itu.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Palestin, daripada jumlah itu 8,000 adalah bayi dan kanak-kanak manakala 6,200 lagi yang dibunuh oleh regim Zionis itu ialah kaum wanita.

Tidak terlepas daripada sasaran pembunuhan Israel adalah petugas kesihatan termasuk doktor seramai 310 orang, pengamal media seramai 97 nyawa dan 35 anggota pertahanan awam.

Lebih 7,000 lagi masih hilang dan 70 peratus daripadanya adalah kanak-kanak yang dikhuatiri masih tertimbus dalam runtuhan bangunan yang dibom oleh regim Zionis.

Tambahnya, serangan bertubi-tubi sejak 7 Oktober lalu telah menyebabkan 52,586 cedera dan 1.8 juta menjadi pelarian.

Israel telah memusnahkan sepenuhnya 52,600 kediaman dan merosakkan 254,000 lagi rumah.

Katanya, 23 hospital kini tidak lagi berfungsi akibat serangan, selain menyaksikan 126 pejabat kerajaan, 90 sekolah dan universiti dimusnahkan sepenuhnya dan 282 lagi mengalami kerosakkan teruk.

Turut menjadi sasaran adalah 200 masjid dan tiga gereja yang musnah sama sekali selain 102 ambulans yang rosak.

Serangan terhadap pusat dan petugas kesihatan menyaksikan 355,000 penduduk telah dijangkiti pelbagai penyakit disebabkan mayat-mayat yang masih tertimbus. -Agensi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast