Harimau belang yang berjaya ditangkap Perhilitan Perak di RPT Tanjung Damai, Ulu Kinta sekitar jam 4.30 pagi Rabu. Foto Media Sosial

IPOH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya menangkap seekor harimau belang di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Tanjung Damai, Ulu Kinta, awal pagi ini.

Harimau jantan berusia dalam lingkungan empat tahun seberat 90 kilogram itu ditangkap kira-kira jam 4.30 pagi membabitkan seramai lapan anggota Perhilitan Perak.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kehadiran harimau itu sekitar jam 11.30 malam tadi.

Menurutnya, selepas menerima aduan tersebut anggotanya bertindak ke lokasi dan mendapati aduan penduduk mengenai harimau tersebut adalah benar.

“Pada mulanya, kita telah cuba menghalau harimau berkenaan dari kawasan tersebut namun gagal.

“Berikutan itu, kita mengambil keputusan untuk menembak haiwan itu menggunakan peluru ubat pelali dan harimau berkenaan berjaya ditangkap kira-kira jam 4.30 pagi,” katanya ketika dihubungi MG Perak hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya harimau yang ditangkap adalah harimau sama yang dilaporkan menimbulkan ketakutan penduduk di kawasan kampung tersebut.

“Kita percaya harimau ini adalah haiwan yang sama dalam video yang tular beberapa hari lalu dan yang diadukan oleh penduduk.

“Harimau ini akan dihantar ke Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak.untuk pemeriksaan Kesihatan,” jelasnya.

Yusoff turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat khususnya Ketua Balai Polis Tanjung Rambutan dan anggota terlibat kerana telah memberilkan kerjasama yang amat baik bagi menjayakan operasi menangkap harimau ini.

Terdahulu, tular di video dan foto di media sosial mengenai harimau ini yang berkeliaran di sekitar Ulu Kinta sehingga menimbulkan kegusaran terhadap penduduk di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette