Menteri Sumber Manusia, Steven Sim

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia (KSM), Steven Sim Chee Keong hari ini  mengarahkan kementerian itu untuk melaksanakan projek perintis Dasar Gaji Progresif dengan segera bagi memastikan pekerja peroleh gaji lebih wajar.

Ini merupakan antara langkah awal Sim yang telah meletakkan tiga teras utama bagi kementerian tersebut iaitu kebajikan, meningkatkan kemahiran dan menaikkan keberhasilan produktiviti pekerja.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sim berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi bagi memastikan kejayaan projek perintis dasar gaji itu bagi mereformasikan pasaran buruh negara.

“Selain itu, kementerian juga akan merangka Dasar Sumber Manusia Negara yang julung sebagai panduan utama dalam usaha memperkukuhkan kebajikan, meningkatkan kemahiran dan menaikkan keberhasilan pekerja serta mempersiap pasaran buruh bagi cabaran masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Sim juga telah mengarahkan HRD Corp untuk tidak meneruskan projek “Skill Passport’ yang telah tertangguh lebih setahun selepas mendapati ia tidak lagi sesuai bagi tujuan pelaksanaan.

Selain itu juga, beliau juga memaklumkan telah melantik seorang aktivis kesatuan kerja, Chee Yeeh Ceeu sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas.

“Saya dari awal lagi telah menyatakan iltizam untuk berdiri bersama pekerja, itu juga sebab mengapa saya lantik Chee Yeeh yang merupakan Bendahari Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank Malaysia (NUBE) dan Ahli Majlis Am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC),” ujarnya. -MalaysiaGazette