Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM500 juta jika mahu melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PRPBT).

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, terdapat 155 kerajaan tempatan termasuk empat agensi yang diberi kuasa PBT.

Tambah beliau, daripada jumlah itu 132 PBT masih bertaraf majlis perbandaran dan majlis daerah.

“Secara purata, setiap PRPBT ini akan memberi implikasi kewangan sebanyak RM3 juta untuk dilaksanakan.

“Ini bermakna, sekiranya PRPBT ini ingin dilaksanakan, jumlah belanja yang dianggarkan adalah hampir setengah bilion ringgit dan ia memberi kesan kewangan yang cukup besar kepada kerajaan tempatan dalam kategori majlis perbandaran dan majlis daerah,” kata beliau.

Beliau berkata, sebagai perbandingan peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dalam Belanjawan 2024 adalah sebanyak RM5.6 bilion.

Ini bermakna, bagi tujuan PRPBT semata-mata jika dilaksanakan akan menggunakan hampir 10 peratus daripada peruntukan yang terhad ini.

“Sedangkan jumlah peruntukan ini boleh digunakan untuk tujuan lain yang jauh lebih penting dan dapat memberi manfaat terus kepada rakyat.

“Saya lebih cenderung melihat penggunaan wang awam kerajaan tempatan disalurkan kepada aktiviti meningkatkan kesejahteraan atau well-being rakyat, tahap daya huni, kualiti perkhidmatan dan juga penyelenggaraan fasiliti utama khususnya di ibu kota Kuala Lumpur.

“Hakikatnya, inilah ekspektasi utama rakyat dalam menilai perkhidmatan kerajaan tempatan kita,” tegasnya.

Beliau mengulas cadangan Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai supaya kerajaan memulakan pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu negara.

Ahli Parlimen Cheras itu berkata, pengenalan pilihan raya berkenaan bertujuan kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

Reezal Merican menegaskan, amalan demokrasi dan pendekatan semak imbang tetap dijamin tanpa pelaksanaan PRPBT.

Ini kerana kuota tertentu dalam lantikan PBT boleh ditetapkan untuk memastikan pihak-pihak yang berbeza menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan tempatan.

“Malah, pemilihan wakil kerajaan tempatan dalam keadaan semasa sudah pun memadai. Sebagai contoh, di Selangor, lantikan ahli majlis kerajaan tempatan adalah berdasarkan kuota 75 peratus daripada calon parti politik manakala baki 25 peratus dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan.

“Model sebegini tetap sahaja menjamin bahawa semak imbang boleh dijalankan melalui pandangan profesional oleh pihak yang bebas dari bingkai kepentingan politik serta mencerminkan keberadaan wakil masyarakat sivil iaitu NGO.

“Malah di peringkat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pelantikan Ahli Lembaga Penasihat turut mengambil kira komposisi serta perwakilan semua pihak berkepentingan dalam soal perbandaran,” katanya dalam kenyataan.- MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: