Pihak polis menjalankan siasatan di lokasi sekumpulan lelaki bergaduh dengan seorang lelaki di tepi jalan berhampiran PPR Jalan Sungai, Pulau Pinang pada 6 Disember lalu.

GEORGE TOWN – Polis sudah serahkan kertas siasatan berhubung 10 individu merusuh di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai di Sungai Pinang pada 6 Disember lalu kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, kesemua individu yang ditahan sudah dibebaskan dengan jaminan polis pada 11 dan 12 Disember lalu.

“Kita tunggu arahan DPP untuk tindakan lanjut termasuk mendakwa kesemua suspek di mahkamah,” katanya hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan/ 186 akta sama dan Seksyen 36(1)Akta Senjata 1960.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, 10 lelaki diberkas dalam beberapa serbuan berasingan bagi membantu siasatan kes merusuh di PPR Jalan Sungai.

Lima suspek ditahan di lokasi rusuhan manakala lima lagi di sekitar Lembah Klang serta Melaka.

Turut dirampas dalam tangkapan itu sepucuk pistol tiruan.

Pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki warga tempatan itu dikatakan akibat perselisihan faham. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Merusuh di PPR Jalan Sungai: Lima suspek disambung reman