Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi (kanan) dan Inspektor Divaha Shanon A/L K.Kanaran (kiri) menunjukkan hasil tangkapan dan kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Mes Pegawai Kanan, IPK Selangor. Foto NUR SYADILA AMARI, 19 DISEMBER 2023.

SHAH ALAM – Cubaan menyeludup dadah menggunakan bas ekspres untuk pasaran Lembah Klang berjaya dipatahkan polis selepas empat lelaki ditahan berhampiran stesen minyak di tepi jalan Lebuh Raya Utara Selatan, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, kesemua suspek berusia antara 32 hingga 54 tahun diberkas sekitar pukul 11.55 malam oleh pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor.

Hasil pemeriksaan di dalam sebuah kereta jenis Nissan Almera menemui satu kotak yang berisi 10 ketulan mampan daun kering disyaki ganja seberat 10.4 kilogram (kg).

“Kemudian, dipandu arah salah seorang suspek di bahagian simpanan barang dalam bas ekspres di lokasi berhampiran membawa rampasan lima lagi kotak berisi 20 ketulan mampat daun kering dipercayai ganja seberat kira-kira 105.4kg ,”

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan dengan 110 ketulan mampat daun kering disyaki ganja bernilai RM358,899 selain sitaan wang tunai adalah RM1,100,” katanya.

Hasil tangkapan dan kejayaan ketulan mampat daun kering disyaki ganja yang dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Mes Pegawai Kanan, IPK Selangor. Foto NUR SYADILA AMARI, 19 DISEMBER 2023.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Mess Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Tambah Sasikala, semakan mendapati salah seorang daripada suspek berkerja sebagai pemandu bas, dua suspek berniaga katering makanan dan seorang lagi penganggur.

Hasil semakan turut mendapati tiga daripada suspek memiliki rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati tiga suspek terlibat positif dadah jenis THC, ampethemine dan methamphetamine.

“Soal siasat polis mendapati pemandu bas terbabit bertindak sebagai transporter untuk membawa dadah tersebut dari utara Semenanjung untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

“Suspek menerima bayaran upah sebanyak RM200 bagi setiap kg dan semakan mendapati kumpulan terbabit dipercayai telah bergiat aktif sejak tiga bulan lalu,”ujarnya.

Beliau juga memaklumkan, kesemua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 25 Disember dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan berasingan, Sasikala berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Selangor telah merekodkan sebanyak 17,211 kes tangkapan pelbagai jenis dadah bagi tahun ini sejak Januari lalu.

“Bermula Januari hingga November, seramai 20,986 orang ditahan dengan nilai rampasan pelbagai jenis dadah sebanyak RM136.23 juta,” jelasnya. – MalaysiaGazette