KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) sedang menaik taraf sistem pintu automatik semua stesen Monorel bagi meningkatkan keselamatan pengguna terutama kepada Orang Kelainan Upaya (OKU).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, masalah itu berpunca daripada pintu platform yang tidak diintegrasi dengan pintu koc monorel dan ia akan diperbaiki segera dan kontraktor baharu telah dilantik.
“Kita alami sedikit kerumitan sebab kontraktor asal yang pasang sistem itu tidak lagi beroperasi. Jadi masalah pintu platform yang tidak dapat ditutup itu lambat selesai sehingga ke hari ini.
“Situasi itu menjadi punca ada insiden penumpang OKU penglihatan terjatuh dalam kawasan rel kerana mereka ini kerap menggunakan Monorel untuk ke Brickfields yang menjadi pusat aktiviti mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan projek perintis koc wanita MRT laluan Kajang di Stesen MRT Bandar Tun Hussein Onn di sini hari ini.
Sehubungan itu, Anthony memberitahu, pihaknya telah meminta Prasarana untuk menyegerakan proses itu menjelang suku ketiga dan suku keempat 2024 agar isu sama tidak berlarutan.
Mengulas mengenai insiden tayar monorel yang terbakar sebelum terjatuh berdekatan Stesen Monorel Titiwangsa kelmarin, Anthony berkata, kejadian itu sudah dilaporkan kepada kementeriannya dan masih dalam siasatan pihak Prasarana.
Walaupun insiden itu tidak membabitkan sebarang kecederaan dan tiada kesan kepada operasi pada hari berkenaan namun pihaknya memandang serius kejadian terbabit.
Rentetan itu, Prasarana telah diarah memberikan laporan lengkap kepada Kementerian Pengangkutan termasuk salinan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat. – MalaysiaGazette