KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati kerana ada panggilan penyamaran sebagai Pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah dikesan berleluasa dengan niat penipuan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebarang panggilan yang mengaku dari pihak NSRC adalah satu penipuan.
Sebaliknya pihaknya hanya menerima panggilan orang ramai untuk melaporkan kes penipuan dan ia berbentuk komunikasi sehala sahaja, katanya.
“Setakat ini, sebanyak 25 laporan diterima polis membabitkan kes penyamaran pegawai dari NSRC dengan melibatkan kerugian berjumlah RM729,995.20 sejak Januari sehingga hari ini.
“NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, mengenai penipuan terbaharu itu, Ramli berkata, mangsa akan menerima panggilan dari individu yang mendakwa ‘pegawai dari NSRC’.
‘Pegawai’ terbabit kemudiannya memaklumkan mangsa kononnya pihak NSRC akan membatalkan nombor telefon mereka ekoran terdapat aduan telefon itu digunakan untuk menghantar pautan haram serta mesej penipuan.
“Untuk tujuan siasatan, panggilan kemudiannya akan disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis.
“Mangsa kemudian akan diarahkan oleh ‘pegawai NSRC’ itu untuk menuruti segala arahan yang diberikan sehinggalah mengakibatkan mangsa membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan,” jelasnya.
Ramli menegaskan, pihaknya telah mengoptimumkan usaha pembanterasan serta pencegahan jenayah penipuan dalam talian.
Beliau juga menggesa mangsa-mangsa yang terlibat untuk segera menghubungi NSRC di talian 997 untuk melaporkan insiden yang berlaku.
“Sebaiknya, panggilan hendaklah dibuat dalam tempoh kurang 24 jam agar peluang untuk membuat sekatan terhadap wang yang telah dipindahkan lebih tinggi.
“Dalam masa yang sama, PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik dan tidak mudah terpedaya dengan apa jua dakwaan yang diterima melalui panggilan dari individu yang tidak dikenali.
“Sila buat semakan dengan agensi yang berkaitan bagi memastikan kesahihan dakwaan tersebut,” tegasnya. – MalaysiaGazette