Suspek Muhammad Khairul Syazwan Sulaiman, 22 (baju kelabu) penunggang motosikal yang enggan memberi kerjasama lalu merempuh anggota polis di sekatan jalan raya pada 3 Disember 2023 lalu akan didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Shah Alam. Foto NUR SYADILA AMARI, 21 DISEMBER 2023.

SHAH ALAM – Seorang pekerja gudang mengaku salah atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan merempuh seorang anggota polis trafik ketika operasi sekatan jalan raya pada 3 Disember lalu.

Tertuduh, Muhammad Khairul Syazwan Sulaiman, 22, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman selepas kertas pertuduhannya dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, beliau pada 12.30 tengah malam 3 Disember lalu menghalang Koperal Ahmad Haizaki Salimon menjalankan tugas Penguatkuasa Kawalan Lalu Lintas Cawangan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam apabila enggan memberikan kerjasama untuk memberhentikan kenderaan jenis motosikal Yamaha Y1 yang ditunggangnya bagi tujuan pemeriksaan.

Muhammad Khairul dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Dalam masa yang sama, lelaki tersebut turut berhadapan dengan tuduhan menunggang motosikal merbahaya di  Persiaran Sultan menghala ke Persiaran Perbandaran.

Sehubungan itu beliau didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) dan boleh dihukum dibawah peruntukan yang sama.

Mahkamah Majistret kemudian menetapman 7 Januari 2024 sebagai tarikh jatuh hukum.- MalaysiaGazette