Peguam Aman Palestin Berhad, Muhammad Rafique Rashid Ali bercakap pada sidang media Aman Palestin mengenai penjelasan awam terhadap fitnah dan persepsi buruk kepada Aman Palestin di Ibu Pejabat Aman Palestin, Bangi. Foto NUR SYADILA AMARI, 21 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mendakwa tidak akan ada calon yang bebas sekiranya pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dikembalikan.

Ketua Penerangan parti itu, Rafique Rashid yakin calon yang akan dipertandingkan pasti mereka yang mewakili parti politik.

“Yang tidak boleh dinafikan juga adalah sekiranya pilihan raya PBT ini diadakan yang akan bertanding adalah parti-parti politik atau pun diletakkan calon-calon yang akan dibelakangi oleh parti-parti politik.

“Usah tipu kononnya akan ada calon bebas boleh menang yang akan perjuangkan hak rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Rafique, penubuhan kerajaan tempatan adalah untuk perpaduan negara daripada pelbagai aspek.

Namun beliau mendakwa DAP menumpukan perkara yang sebaliknya.

“Objektif utama keperluan penubuhan Kerajaan Tempatan sebagaimana Laporan Athi Nahappan adalah untuk perpaduan negara, pembangunan sosial dan ekonomi, pentadbiran yang lebih cekap, demokrasi dan kebebasan.

“Tetapi yang ingin dibawa ke hadapan oleh DAP kini lebih tertumpu kepada pilihan raya PBT yang akhirnya akan dimasuki dan dipertandingkan oleh parti-parti politik juga,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan DAP belajar daripada sejarah apabila Akta Kerajaan Tempatan 1976 telah memansuhkan pilihan raya PBT akibat masalah kepincangan pengurusan.

“Pengadaan pilihan raya PBT membawa kepada pelbagai masalah apabila pembangkang (pada waktu itu) lebih suka berpolitk dan janji-janji ditabur sehinggakan dijanjikan tiada yuran atau kadar-kadar cukai akan dikutip kalau mana-mana ahlinya dipilih. Adakah mahu mengulangi kesilapan yang sama?

“Begitu juga dengan situasi wujudnya pada waktu itu mereka-mereka yang dipilih tidak mampu melaksanakan tanggungjawab, berlakunya pelbagai isu salah urus tadbir dan juga kegaggalan mengurus kerajaan tempatan,” katanya lagi.

Sebagai rekod, baru-baru ini, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya PBT bagi Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa kemudian berkata, pihaknya akan membincangkan perkara tersebut dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan yang diterajui oleh Nga Kor Ming. – MalaysiaGazette