WASHINGTON – Undian resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa mengenai gencatan senjata di Gaza bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disampaikan telah ditangguhkan untuk kali ketiga.
Menurut agensi Anadolu, proses pengundian melibatkan 15 anggota Majlis Keselamatan dijangka mengundi resolusi hari ini selepas ditangguhkan kali pertama pada Isnin lalu.
Teks resolusi digubal oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyeru penggantungan segera permusuhan untuk membolehkan akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan dan untuk langkah segera ke arah pemberhentian permusuhan yang mampan.
Menegaskan semula bahawa semua pihak yang terlibat dalam konflik mesti mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa, ia juga meminta agar mekanisme pemantauan PBB digunakan dengan segera.
Pada 8 Disember lalu Amerika Syarikat (AS) menjadi satu-satunya kuasa dunia yang memveto resolusi Majlis Keselamatan PBB untuk menggesa gencatan senjata segera dalam perang antara Israel dan Palestin di Gaza.
Guterres mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB selepas pertempuran selama berminggu-minggu.
Terkini bilangan korban di Gaza telah mencecah 20,000 nyawa yang sebahagian besarnya adalah bayi, kanak-kanak dan wanita.-Agensi