David Kozak.

PRAGUE – Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh manakala 25 lagi cedera termasuk 10 parah dalam insiden tembakan di sebuah universiti di ibu negara Czech, di sini.

Bercakap pada taklimat akhbar, Presiden Polis Czech, Martin Vondrasek berkata, tembakan itu berlaku di Fakulti Sastera di Universiti Charles.

“Terdapat banyak senjata dan peluru di dalam bangunan fakulti itu. Jika tidak kerana campur tangan cepat pihak polis, pasti ramai lagi mangsa,” katanya.

Polis masih menyiasat identiti mangsa, salah seorang daripadanya adalah warga asing.

Penyerang, yang disahkan sebagai David Kozak, 24, dilaporkan terbunuh.

Dia adalah pelajar Universiti Charles.

Menurut Agensi Berita Czech (CTK), polis tempatan dimaklumkan bahawa seorang pemuda dari Hostoun di Wilayah Bohemia Tengah akan berlepas ke Prague untuk membunuh dirinya sendiri.

Kira-kira 25 minit kemudian, bapa pemuda berkenaan ditemui mati di Hostoun dan polis kemudiannya melancarkan pencarian terhadap suspek.

Polis juga dimaklumkan suspek akan memberi syarahan di bangunan Fakulti Sastera.

Oleh itu mereka mengosongkan bangunan tersebut tetapi tembakan berlaku di satu lagi di Dataran Jan Palach, lapor CTK.

Perdana Menteri Czech Petr Fiala berkata, tragedi itu bukan keganasan antarabangsa mahupun tindakan kumpulan terancang sebaliknya dilakukan secara sendirian.

Menggelar tembakan itu sebagai “tindakan yang mengerikan, belum pernah berlaku dalam sejarah Republik Czech,” Menteri Dalam Negeri Vit Rakusan berkata, tidak ada petunjuk bahawa tembakan itu dikaitkan dengan keganasan antarabangsa. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast