HIshammuddin Hashim bersama mangsa penipuan pakej UMrah di pekarangan KPDN Putrajaya

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini didesak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah syarikat pengendali pakej umrah dan haji yang ingkar perintah Tibunal Pengguna melibatkan sejumlah RM1.007 juta.

Setiausaha Agung Organisasi Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia MHO, Datuk Hishammuddin Hashim berkata, jumlah itu melibatkan kerugian yang ditanggung oleh 47 orang individu yang tertipi dengan pakej umrah yang dikendalikan oleh syarikat berkenaan.

Kesemua mangsa ini telah membuat laporan polis sebelum kes telah dijadikan status Merujuk kepada Agensi Lain (ROA) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ia disiasat Kementerian Pelancongan dan diambil tindakan dengan menyenarai hitam dan menyekat perniagaan syarikat itu.

Jelasnya, semua mangsa kemudian telah membuat aduan kepada Tribunal Pengguna sebelum mereka menghadiri perbicaraan dan diumumkan ganti rugi yang mesti dibayar oleh syarikat tersebut kepada kesemua yang terjejas.

“Bagaimanapun, ganti rugi itu itu sekadar sedap didengar kerana syarikat yang diarah membayar ganti rugi itu masih ingkar dan tidak mengambil serius langsung tentang arahan tribunal tersebut.

“Kita juga tidak ada maklumat apakah benar kesemua wang yang dibayar mangsa ini digunakan oleh syarikat berkenaaan untuk bayar syarikat penerbangan atau hotel penginapannya,” katanya yang menghantar surat aduan itu di KPDN hari ini.

Beliau hadir bersama 47 individu yang menjadi mangsa penipuan syarikat berkenaaan.

Penyerahan surat aduan untuk mendesak Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDN untuk menyiasat dan bertindak dalam isu ini menggunakan aspek perundangan.

Hishammuddin berkata, tidak ada guna sekiranya syarikat itu disenaraihitam dan perniagaannya disekat kerana tindakan tersebut tidak akan menjamin pulangan balik wang mangsa.

Mengulas respons KPDN, Hishammuddin berkata, Ketua Penguatkuasa KPDN berjanji untuk melakukan siasatan dan akan dipanjangkan kepada bahagian perundangan bagi membolehkan pendakwaan ke atas syarikat tersebut.

“Mengikut undang-undang mana-mana syarikat yang gagal membaway ganti rugi boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna (KPDN) dan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun ke atas syarikat itu,” ujarnya yang turut menyeru polis juga menyiasat perkara ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Katanya, perkara itu akan dikemukakan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman minggu depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast