Gambar hiasan

IPOH – Seorang ejen insurans mengalami kerugian RM333,600 akibat diperdaya sindiket pelaburan yang tidak wujud.

Lelaki berusia 46 tahun itu membuat laporan pada Selasa lalu dengan mendakwa ditipu menerusi laman Facebook dan WhatsApp untuk membuat pelaburan menggunakan aplikasi ‘Bain Online’.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa mula terpedaya sejak pada 15 Oktober lalu selepas lelaki itu berkenalan dengan seorang wanita dikenali sebagai Eva di sebuah medan selera di Taman Canning.

Jelasnya, Eva  berperanan sebagai pentadbir sebuah kumpulan WhatsApp secara maya melalui pautan di Facebook.

“Susulan itu, bagi tempoh 19 Oktober sehingga 12 Disember lalu, mangsa dari Taman Pari itu telah memasukkan wang secara berperingkat sebanyak 12 kali ke lima akaun bank berlainan yang keseluruhan berjumlah RM333,600.

“Bagaimanapun, apabila mangsa ingin mengeluarkan wang keuntungan pelaburan, suspek meminta pengadu membuat bayaran komisen sebanyak RM57,400.

“Pada masa itu baru lelaki tersebut sedar dia merupakan mangsa sindiket pelaburan sebelum tampil membuat laporan,” katanya dalam kenyataan media lewat malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Mohd Yusri menasihatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada terhadap tawaran-tawaran pelaburan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah.

“Orang awam boleh menghubungi talian National Scam Response Center (NSRC) 997 jika menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud dan baharu sahaja membuat transaksi ke ‘akaun keldai’.

“Bagi sebarang pertanyaan mengenai jenayah penipuan, mereka boleh menghubungi CCID Infoline di talian 013 211 1222 (WhatsApp sahaja) yang beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam,” katanya. – MalaysiaGazette