Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Fitch Ratings menjangka harga semasa penanda aras minyak sawit mentah (MSM) Malaysia pada purata US$650 satu tan pada 2024, jauh lebih rendah daripada kira-kira US$840 satu tan pada 2023 berikutan bekalan yang lebih tinggi.

Katanya,  harga merosot di bawah US$800 satu tan pada Disember 2023, selepas mengukuh pada November berikutan kebimbangan pasaran bahawa corak iklim El Nino akan memberi impak besar kepada bekalan minyak sayuran global.

“Kami berpendapat keadaan cuaca tidak akan merosot dengan ketara pada tahun depan berdasarkan trend hujan terkini dan ramalan cuaca,” katanya dalam laporan Non-Rating Action Commentary bertajuk ‘Pemantauan Minyak Sawit Mentah Asia untuk suku keempat 2023’.

Menurut Fitch Ratings, pengeluaran MSM Malaysia dilihat pulih dengan kukuh, dengan pengeluaran pada Oktober dan November 2023 berada pada paras tertinggi untuk bulan yang sama sejak 2018.

Katanya Sime Darby Plantation (SDP) — syarikat perladangan kelapa sawit terbesar di dunia mengikut kawasan tanaman — tenaga kerjanya di Semenanjung Malaysia telah kembali kepada kekuatan sebelum pandemik dan ketersediaan buruh di Sabah dan Sarawak akan kembali normal tidak lama lagi.

“Tenaga kerja yang mencukupi, dengan keadaan cuaca yang menggalakkan, akan membolehkan pengeluar Malaysia meningkatkan hasil dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Jumlah pengeluaran di Indonesia adalah rendah selepas mencapai paras tertinggi pada Mei 2023, bagaimanapun, kami berpendapat situasi tenang itu adalah sementara dan pengeluaran akan meningkat dengan baik pada tahun depan,” katanya.

Sementara itu, inventori minyak sawit di Malaysia naik enam peratus tahun ke tahun setakat November 2023 dan berada pada paras tertinggi pada bulan tersebut sejak 2018.

Sebagai perbandingan, inventori di Indonesia sebanyak 23 peratus merosot tahun ke tahun sehingga September 2023, berdasarkan data terkini.

“Kami berpendapat stok yang rendah di Indonesia boleh dikaitkan dengan eksport yang baik pada sepanjang tahun lepas, dengan permintaan domestik yang kukuh daripada biodiesel dan penurunan pengeluaran dalam beberapa bulan ini.

“Kami menjangka stok di Malaysia dan Indonesia akan meningkat seiring dengan pengeluaran minyak sawit,” menurut Fitch Ratings.

Sementara itu, jumlah eksport dari Malaysia dan Indonesia merosot tahun ke tahun sejak Ogos 2023, katanya, percaya bahawa persaingan daripada minyak sayuran lain dan jangkaan pembeli terhadap penurunan harga MSM telah memainkan peranan dalam trend eksport.

Agensi penarafan kredit itu berkata ia menjangka tekanan ke atas jumlah eksport akan berterusan dalam jangka pendek. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast