KUALA LUMPUR – Kadar inflasi negara terus merekod peningkatan perlahan 1.5 peratus pada November 2023 dengan mata indeks mencatatkan 130.9 berbanding 129.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan inflasi ini telah didorong oleh peningkatan perlahan Restoran & Hotel, 4.3 peratus (Oktober 2023: 4.6%); makanan & minuman bukan alkohol, 2.6 peratus (Oktober 2023: 3.6%) dan kesihatan, 2.3 peratus (Oktober 2023: 2.4%).
Selain itu, beberapa kumpulan utama yang menunjukkan peningkatan adalah perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain, 1.7 peratus (Oktober 2023: 1.6%) serta pengangkutan 0.1 peratus (Oktober 2023: 0.0%).
Kumpulan makanan & minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan perlahan iaitu 2.6 peratus.
Komponen makanan di rumah meningkat 1.4 peratus berbanding 2.1 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya.
Kenaikan komponen makanan di rumah adalah didorong terutamanya oleh subkumpulan beras, roti & bijirin lain, 3.1 peratus (Oktober 2023: 3.6%).
Ini diikuti oleh subkumpulan susu, keju & telur dan buah-buahan masing-masing meningkat 2.9 peratus dan 2.8 peratus.
Sementara itu, komponen makanan di luar rumah mereda kepada 3.9 peratus berbanding 5.6 peratus yang direkodkan pada Oktober 2023.
Antara item yang meningkat lebih rendah pada November 2023 adalah ayam goreng disebabkan oleh kesan strategi promosi oleh industri rangkaian makanan segera.
Peningkatan inflasi subkumpulan beras, roti & bijirin lain sebanyak 3.1 peratus pada November 2023 disumbangkan oleh kelas perbelanjaan beras yang mencatatkan
peningkatan perlahan 4.7 peratus berbanding 5.3 peratus pada Oktober 2023.
Produk beras import dan beras wangi import masing-masing mencatatkan peningkatan 10.1 peratus dan 7.0 peratus berbanding 9.6 peratus dan 7.5 peratus pada Oktober 2023.
Kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk menaikkan harga siling beras putih tempatan (BPT) daripada RM2.60 sekilogram kepada RM3.20 sekilogram bagi menjaga masa depan semua pihak yang terlibat dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu.
Inflasi subkumpulan susu, keju & telur meningkat kepada 2.9 peratus pada bulan November 2023 (Oktober 2023: 3.1%).
Kenaikan yang lebih rendah telah dicatatkan bagi kelas perbelanjaan susu cair/ susu pekat (1.9%), diikuti oleh susu tepung & keluaran susu lain (4.0%) dan Telur (1.1%).
Manakala, bagi inflasi subkumpulan buah-buahan meningkat sebanyak 2.8 peratus pada November 2023 (Oktober 2023: 2.6%) disumbangkan oleh kenaikan kelas perbelanjaan Buah-buahan segar (3.0%).
Antara buah-buahan yang mencatatkan kenaikan adalah oren, pir dan tembikai.
Subkumpulan daging yang merangkumi daging ayam, daging lembu, daging babi, daging kambing, daging kerbau dan daging itik mencatatkan penurunan kepada negatif 0.2 peratus pada bulan November 2023 (Oktober 2023: 2.1%) terendah sejak Ogos 2021.
Perbandingan bulan ke bulan bagi subkumpulan ini juga turut mencatatkan penurunan marginal negatif 0.5 peratus (Oktober 2023: 0.1%).
Ayam yang merupakan komponen terbesar merangkumi 46.1 peratus dalam subkumpulan daging mencatatkan penurunan negatif 4.6 peratus berbanding negatif 0.7 peratus pada bulan Oktober 2023.
Purata harga ayam standard di Malaysia menurun kepada RM9.96 sekilogram berbanding RM10.36 sekilogram pada bulan November 2022 (Oktober 2023: RM10.02).
Seiring dengan penurunan harga di peringkat Malaysia, purata harga ayam standard Semenanjung Malaysia turut mencatatkan penurunan kepada RM9.17 sekilogram berbanding RM9.83 sekilogram pada bulan November 2022 (Oktober 2023: RM9.32).
Kenaikan perlahan bagi kumpulan Restoran & Hotel kepada 4.3 peratus (Oktober 2023: 4.6%) terutamanya disumbangkan oleh kedua-dua subkumpulan perbelanjaan di restoran & kafe, 4.3 peratus (Oktober 2023: 4.5%) dan perkhidmatan penginapan 4.2 peratus (Oktober 2023: 5.1%).
Selain itu, inflasi kumpulan Kesihatan mencatatkan kenaikan 2.3 peratus (Oktober 2023: 2.4%) yang didorong oleh kenaikan perlahan subkumpulan perkhidmatan pesakit luar 3.6 peratus (Oktober 2023: 3.7%).
Mohd Uzir berkata, berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 1.5 peratus.
Walau bagaimanapun, lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Putrajaya (2.3%), Sarawak (2.0%), Perak (1.9%), Pulau Pinang (1.8%)
dan Selangor (1.7%).
Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan & minuman bukan alkohol.
Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Pulau Pinang (3.7%),Sarawak (3.6%), Selangor (3.5%), Labuan (3.4%) dan Putrajaya (3.0%).
Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan & minuman bukan alkohol nasional iaitu 2.6 peratus pada November 2023. – MalaysiaGazette