Kon Yeow (tengah) ketika melawat Pusat Kawalan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, Pulau Pinang hari ini. Foto ihsan PBAPP

GEORGE TOWN – Kerja-kerja kimpalan bawah air untuk membaiki kerosakan pada saluran paip sebesar 1,350 milimeter (mm) di Sungai Perai yang dilaporkan bocor telah siap hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, 70 peratus pengguna yang terkesan sudah menerima bekalan air pada jam 2 petang tadi.

Manakala baki 30 peratus lagi termasuk mereka yang berada di peringkat akhir (EoL) dan kawasan tanah yang lebih tinggi, akan dipulihkan secara berperingkat lewat hari ini.

“Kita sedang berusaha untuk memulihkan perkhidmatan air secepat mungkin selain Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang turut memantau prestasi bahagian saluran paip yang dibaiki bagi memastikan tiada kebocoran berlaku.

“Kerja membaiki kerosakan pada saluran paip tersebut hanya penyelesaian sementara bagi menyalurkan semula bekalan air kepada pengguna ini kerana masih terdapat kebocoran kecil pada tapak yang akan menjejaskan peratus air tanpa hasil (NRW) bagi Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, 15 buah lori tangki air stesen tambahan iaitu dari Perak, Selangor, Pahang, Johor, Melaka, Kelantan dan Terengganu dikerahkan untuk menyalurkan bekalan air kepada pengguna yang terjejas.

Sebelum ini, sebanyak 14 buah lori tangki PBAPP, pasukan bomba sukarela dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah menyalurkan air di kawasan terjejas sejak 20 Disember lalu.

Mengulas lanjut Kon Yeow yang Pengerusi PBAPP berkata, syarikat air itu bercadang untuk melaksanakan penyelesaian jangka panjang dengan projek bernilai RM5 juta pada tahun depan agar paip itu mudah diselenggara nanti.

Katanya, cadangan projek adalah meletakkan bahagian saluran paip sebesar 200 meter yang baharu pada struktur yang melintasi sungai bagi mengelakkan insiden sama berlaku di Sungai Perai.

Perkara ini akan dibentangkan kepada Lembaga Pengarah PBA Holdings Bhd (PBAHB) untuk kelulusan tidak lama lagi kerana ia melibatkan saluran paip utama yang menyalurkan air setiap hari dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua kepada lebih 100,000 pengguna air di Pulau Pinang.

“Mengikut rekod PBAPP, saluran paip bawah air sebesar 1,350mm itu telah dipasang oleh Pihak Berkuasa Air pada 1996, iaitu sebelum PBAPP dikorporatkan. Ini menyebabkan punca atau bila ia akan rosak tidak boleh dijangka.

“Sebab itu PBAPP mencadangkan projek tersebut dan ini bermakna, saluran paip baharu akan lebih mudah diselenggara pada masa hadapan kerana ia akan disokong oleh struktur di atas Sungai Perai.

“Usaha itu akan mengambil masa kira-kira lapan bulan untuk menyiapkan cadangan projek saluran paip yang menyeberangi Sungai Perai,” katanya.

MalaysiaGazette semalam melaporkan proses kimpalan paip 1,350 milimeter (mm) milik Perbadanan Belakan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang pecah di dasar Sungai Perai dan dijadualkan siap 21 Disember tergendala selepas ia dilaporkan bocor semula.

Situasi itu sekali gus mengakibatkan 120,000 pengguna air di Daerah Barat Daya berdepan situasi gangguan bekalan air lebih 48 jam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast