KUALA LUMPUR – Seramai 4,058 orang calon akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2023 pada 2, 3 dan 4 Januari 2024 serta 8 hingga 11 Januari 2024.
Kementerian Pendidikan Malaysia berkata, peperiksaan itu akan diadakan di 131 buah pusat peperiksaan dan 824 orang petugas telah dilantik.
“KPM ingin mengingatkan semua calon peperiksaan STAM Tahun 2023 agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.
Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
Selain itu, calon hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan STAM Tahun 2023.
KPM cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta semua petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan STAM Tahun 2023 berlangsung. KPM sentiasa siap siaga dengan
mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.
Semua calon peperiksaan STAM Tahun 2023 dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat
peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.
Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan
di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara.
KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan STAM Tahun 2023 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
“KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,” ujarnya. – MalaysiaGazette