Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR –  Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) memperuntukkan perbuatan mengganggu keharmonian rumah tangga sebagai suatu kesalahan selaras dengan hukum syarak.

Akta itu sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 36 mengenai kesalahan memujuk lari perempuan bersuami, Seksyen 37 mengenai kesalahan menghalang
pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.

Manakala Seksyen 38 mengenai kesalahan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, peruntukan-peruntukan ini secara tidak langsung dapat menjamin keharmonian rumah tangga selaras dengan kehendak syarak.

“Islam sangat mementingkan keharmonian rumahtangga dan ikatan perkahwinan pasangan suami isteri. Islam. Peruntukan-peruntukan ini secara tidak langsung dapat menjamin keharmonian rumahtangga selaras dengan kehendak syarak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan Seksyen 498 Kanun Keseksaan sebagai tidak berperlembagaan.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengisytiharkan seksyen berkenaan tidak berperlembagaan kerana ia melanggar prinsip asas berhubung kesamarataan jantina.

Mohd Na’im berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil maklum serta menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah memutuskan Seksyen 498 Kanun Keseksaan sebagai tidak berperlembagaan.

Menurut beliau, penghakiman tersebut dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan Yang Amat Arif Hakim berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam mencari penyelesaian yang terbaik.

Justeru, semua pihak adalah diseru untuk menghormati keputusan tersebut.

Bagaimanapun, tegas beliau, pemansuhan ini tidak menjejaskan peranan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) khususnya agensi-agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) serta lain-lain agensi untuk terus melaksanakan program-program pengukuhan institusi keluarga yang menghayati nilai-nilai sakinah, mawaddah dan rahmah.

Sehubungan itu, seluruh umat Islam terutama para suami dan isteri diseru untuk bersama-sama berganding bahu bagi melaksanakan kewajipan masing-masing serta saling memperkukuh institusi keluarga.

“Masing-masing mempunyai kewajipan tersendiri untuk membangunkan keluarga demi anak-anak dan generasi Al-Falah.

“Semua pihak juga adalah dipohon supaya saling meningkatkan akhlak dalam pergaulan seharian agar sentiasa sejajar dengan pedoman ajaran agama Islam,” ujarnya.

Agensi-agensi hal ehwal agama bersama pertubuhan Islam dan pengurusan masjid adalah diseru untuk memperhebatkan program-program pendidikan kepada masyarakat bagi menghayati kepentingan keutuhan sesebuah keluarga demi kehidupan yang sejahtera. – MalaysiaGazette