Siti Suhada kali terakhir dilihat pada 4 Disember lalu di Sri Petaling.Ihsan IPK KL

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur meminta kerjasama dan bantuan orang ramai untuk mencari seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di ibu negara.

Pemangku Pegawai Pusat Media Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur Inspektor Mazliyana Abd Latiff berkata, wanita yang hilang itu dikenalpasti sebagai Siti Suhada Mohamed Din dan berusia 32 tahun.

“Pada 11 Disember lalu, polis menerima aduan daripada seorang wanita tentang kehilangan adik perempuannya bernama Siti Suhada.

“Menurut pengadu, kali terakhir beliau melihat adiknya pada 4 Disember lalu di alamat C-5-17 Pangsapuri Jati Selatan, 2/125G Sri Puteri di Desa Petaling,” katanya menerusi kenyataan media  hari ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai orang hilang itu diminta  segera menghubungi Sarjan Khalik Abdul Wahab di talian 018-9614966 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette