Kren digunakan untuk membawa keluar kereta dari kawasan tanah runtuh di Jalan Wawasan, Pusat Bandar Puchong.

KIALA LUMPUR – Semua kereta yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Wawasan, Pusat Bandar Puchong pada 16 Disember lalu telah dikeluarkan.

Majlis Bandaraya Subang Jaya berkata, setakat semalam kerja-kerja pemasangan cerucuk kepingan di lokasi runtuhan anggaran 150 meter untuk menahan pergerakan tanah telah mencapai 40.26 peratus pelaksanaan.

Kawalan 24 jam telah dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor bagi memantau lokasi kejadian serta mengenalpasti sekiranya terdapat sebarang pergerakan tanah yang boleh menimbulkan bahaya atau kejadian yang lebih buruk berulang.

Kerja-kerja menanam cerucuk masih giat dijalankan.

Oleh itu, orang awam adalah dilarang untuk memasuki kawasan yang
terjejas dan pemilik rumah yang ingin memasuki kawasan tersebut diarahkan untuk melaporkan diri di Pos Kawasan PDRM yang berada di kawasan berhampiran.

MBSJ berkata, pihaknya memandang serius masalah ini dan sentiasa menambah baik dengan mencari kaedah terbaik bagi langkah-langkah penyelesaian isu yang dihadapi.

Pelbagai langkah pencegahan, kesiap siagaan telah dirancang sebagai persiapan menghadapi bencana khususnya dalam kawasan pentadbiran MBSJ, katanya. – MalaysiaGazette