KUANTAN – Dua individu dari Bentong dan Kuala Lipis mengalami kerugian setelah terpedaya dengan skim pelaburan dan tawaran kerja tidak wujud atas talian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa pertama dijanjikan keuntungan lumayan, terjerat dengan tawaran pelaburan pada 16 Disember lalu.
Mangsa tersebut seorang wanita berumur 40 tahun yang menerima pesanan daripada aplikasi Telegram berkenaan iklan Pelaburan Binari Trade yang menawarkan keuntungan RM35,000 dengan pelaburan RM1,500.
“Suspek telah maklumkan bahawa mangsa tidak perlu melakukan trader namun hanya perlu melaburkan modal sahaja dan mengeluarkan modal daripada akaun simpanannya sendiri.
“Mangsa telah terpengaruh lalu membuat sembilan transaksi ke dalam lima akaun bank yang berbeza sehingga mengalami kerugian sebanyak RM62,750,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu dalam kejadian lain, pada 10 Disember lalu, seorang wanita berumur 33 tahun telah melayari laman sesawang Facebook dan telah berminat dengan satu iklan pekerjaan secara dalam talian.
Mangsa telah berurusan dengan suspek melalui talian yang diberi. Mangsa telah membuat segala tugasan di dalam pautan Malaysia Wings.com/index dengan memberi rating kepada Syarikat Penerbangan Malaysia Airline.
Yahaya berkata, mangsa juga telah menjawab 30 soalan yang diberikan dan telah menerima komisyen sebanyak RM474.
Suspek turut menjanjikan untuk tugasan seterusnya dengan bayaran bonus sebanyak lima kali ganda dengan syarat mangsa membuat pembayaran terlebih dahulu.
Mangsa hanya berputih mata setelah membuat pembayaran secara berperingkat-peringkat sebanyak 10 kali ke dalam enam akaun bank berbeza dalam tempoh dua hari sehingga mengalami kerugian sebanyak RM61,192.30 menggunakan duit simpanan.
Yahaya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan pelabagai modus operandi yang dijalankan oleh pihakt sindiket.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette