Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan keyakinannya bahawa percubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan menerusi usaha menukar sokongan atau “tebuk atap” tidak akan berlaku berikutan sokongan padu yang diberikan Sarawak.

Anwar  berkata Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu pertemuan dengan beliau baru-baru ini turut mengulangi pendirian tegas mengekalkan Kerajaan Perpaduan sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Dalam senario politik semasa ini, peranan atau pendirian GPS itu agak kritikal kerana hanya dengan kenyataan dan dukungan parti utama Sarawak (GPS) dan Sabah (GRS) yang akan memungkinkan perubahan itu (kerajaan) berlaku.

“Kalau ada sedikit sebanyak percubaan tebuk atap, ia akan hanya berasas sekiranya ada ruang yang diberikan kedua-dua negeri (Sarawak dan Sabah)… saya pilih majlis ini untuk menyampaikan bahawa kes tebuk atap kalau nak digunakan lagi (naratif) dukungan Sabah dan Sarawak, ia terbatal secara sendirinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian di sini hari ini.

 

-BERNAMA