Gambar hiasan

BUTTERWORTH – Seorang remaja perempuan terpaksa berpaut pada pokok bakau di kawasan berlumpur berhampiran pelabuhan di Penang Port Sdn Bhd, di sini, selama dua hari  sebelum diselamatkan hari ini.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Faris Izwan Ahmad Fadzilah berkata mangsa berusia 17 tahun itu berjaya diselamatkan selepas lambaiannya meminta tolong disedari seorang pegawai operasi bomba pelabuhan kira-kira 9 pagi tadi.

“Remaja itu dilaporkan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada Khamis lepas dan berusaha berenang ke arah sebuah bangunan berbumbung biru sebelum tersangkut pada pokok bakau di kawasan berlumpur berhampiran pelabuhan tersebut.

“Sepanjang dua hari tersangkut, mangsa memaklumkan dia berusaha melambai ke arah orang awam untuk meminta pertolongan tetapi tidak disedari oleh sesiapa hinggalah seorang pegawai bomba pelabuhan ternampak lambaiannya dan diselamatkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan temu bual awal, remaja itu dipercayai mengalami tekanan kerana kecewa apabila dua kali gagal dalam ujian memandu dan takut dimarahi keluarganya.

Faris Izwan berkata, remaja perempuan itu ditemukan dalam keadaan lemah tetapi tidak mengalami kecederaan serius dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

Terdahulu, media melaporkan operasi mencari dan menyelamat remaja terbabit dilakukan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Butterworth selepas menerima panggilan pada 11.23 pagi, Khamis lepas.

Mangsa meninggalkan motosikal milik ibu saudaranya di Kilometer 2.2 Jambatan Pulau Pinang di sini, dari arah Perai menghala ke pulau. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast