KUALA LUMPUR – Persalinan jingga gelap dijangka menjadi warna popular tema baju Melayu sempena Hari Raya Aidilfitri tahun depan.
Ia diakui oleh pemilik Butik Dzulldeclassique Original, Zulkifli Rahmat selepas pakaian itu menjadi pilihan utama para pelanggannya ketika ini.
Beliau berkata, kebanyakan pelanggan yang datang membuat tempahan sejak awal Disember ini rata-rata memilih warna jingga gelap sebagai pilihan mereka.
“Walaupun ketika ini tempahan baju Melayu untuk Hari Raya nanti belum sampai kemuncaknya tetapi kebanyakan pelanggan yang datang membawa kain berwarna jingga gelap.
“Bagi yang memilih kain di butik pula, ramai yang bertanyakan warna yang sama hingga saya kehabisan stok,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini ketika diminta mengulas mengenai ramalan warna baju Melayu sempena Aidilfitri 2024.
Bagaimanapun Zulkifli menasihati mereka yang berkulit gelap atau sawo matang tidak memilih warga jingga gelap untuk dipakai pada Aidilfitri nanti.
Katanya, warna itu hanya sesuai untuk mereka yang berkulit putih atau cerah sahaja.
“Kalau mereka yang bekulit gelap memakai warja jingga gelap akan membuatkan kulit mereka bertambah gelap dan lebam.
“Ini kerana tidak semua kulit sesuai dengan warna tertentu,” katanya berterus-terang.
Sementara itu, Zulkifli meramalkan tempahan baju Melayu akan melonjak naik pada bulan depan sebelum tempahan ditutup pada akhir Februari depan.
Dia juga yakin butik itu mampu menerima lebih 4,000 tempahan menjelang awal Ramadan nanti seperti tahun sebelum ini.
Katanya, kebiasaannya sekitar 2,000 tempahan adalah terdiri golongan yang berkeluarga dan pelanggan tetap sekaligus membuktikan pakaian tradisional tak lekang dek zaman. – MalaysiaGazette