KUALA LUMPUR – Liga Malaysia 2023 yang baru menutup edisinya telah memberi peluang kepada dua pemain Johor Darul Takzim (JDT) menamatkan zaman bujang mereka dalam majlis yang diadakan dengan kehadiran rakan sepasukan masing-masing.
Semalam, pemain tengah, Syamer Kutty Abba dalam hantaran di Instastory miliknya menunjukkan dia di samping gadis pilihan hatinya.
Majlis berkenaan turut dihadiri beberapa pemain JDT, termasuk Safawi Rasid dan Akhyar Rashid sementara pemain Selangor FC, Khuzaimi Piee juga kelihatan.
Beberapa hadirin lain juga sempat memberikan ucapan tahniah terhadap pemain berusia 26 tahun itu yang baru-baru ini baru sahaja dipanggil kembali ke dalam skuad kebangsaan.
Untuk rekod, Syamer sudah beraksi buat juara Liga Super tersebut sejak 2018 setelah meninggalkan Penang FC dengan dia mengalami beberapa siri kecederaan beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada masa sama, bek tengah JDT, Feroz Baharudin turut bergelar raja sehari selepas mengadakan pernikahan pada malam Jumaat dan mengadakan persandingan semalam.
Pemain yang kian meningkat itu dianggap sebagai antara permata buat skuad Harimau Selatan sejak mencipta debut buat pasukan utama pada 2021.
Antara rakan sepasukan yang kelihatan menghadiri majlis tersebut ialah pemain pinjaman Sri Pahang FC daripada JDT, Syazwan Andik.
Feroz mencatatkan satu musim yang cukup cemerlang buat skuad Harimau Selatan, termasuk ketika membantu JDT menjuarai Piala Malaysia dengan menjaringkan gol penting. – MalaysiaGazette
Syamer bersama Akhyar yang turut hadir pada majlis persandingannya.