S.P. Punithan

KUALA LUMPUR – Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mendakwa ada agenda tersirat di sebalik pemindahan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA)  dari Jabatan Perdana Menteri dan kini kembali di bawah Kementerian Perpaduan Nasional.

Presiden parti berkenaan, S.P. Punithan mempersoalkan apakah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengenepikan tanggungjawab menguruskan hal ehwal kaum India ke kementerian lain.

Beliau meminta agar Anwar mengkaji semula sebab kenapa dahulu MITRA yang sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan telah diubah ke bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Lagi pun, tanggungjawab mengurus sesebuah kaum haruslah menjadi tugas Perdana Menteri dan bukan dicampak ke sana sini.

“Pada masa yang sama, perlu ingat bahawa sebanyak 80 peratus kaum India telah mengundi Pakatan Harapan dengan harapan Anwar akan membantu menyelesaikan isu-isu kaum India dan mengarusperdanakannya dalam soal sosioekonomi di negara ini.

“Malangnya, pada hari ini, tindakan Perdana Menteri meletakkan MITRA di bawah Kementerian Perpaduan menunjukkan seolah-olah beliau tidak lagi mahu memikul tanggungjawab mengurus hal ehwal kaum India,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkara sama, beliau juga mempertikaikan tindakan meletakkan MITRA di bawah seorang timbalan menteri dan bukan seorang menteri atau bidang kuasa Perdana Menteri adalah satu langkah tidak bijak.

Katanya, MIPP turut berpandangan mesej yang ingin disampaikan oleh Anwar jelas, hal ehwal kaum India bukan lagi menjadi agenda Kerajaan Perpaduan Madani.

“Saya bimbang sekiranya hal ini berlanjutan maka kaum India akan lebih terpinggir daripada arus pembangunan negara.

“Pemimpin-pemimpin kaum India Kerajaan Perpaduan dilihat membisu walaupun mereka ketahui masa depan kaum India akan terjejas dengan tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri hari ini.

“Kami boleh merumuskan bahawa kaum India di negara ini tidak mempunyai harapan di bawah kepimpinan Anwar,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast