KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) membidas dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kononnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mengkhianati UMNO di negeri itu.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, dakwaan itu dijadikan sebagai alasan untuk menolak kerjasama GRS dengan BN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
“Kenyataan Bung dilihat jelas satu perbuatan fitnah jahat dan cubaan memutar belit fakta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahad lalu, media melaporkan Bung Moktar berkata, BN di negeri itu akan menolak kerjasama dengan GRS dalam PRN17 susulan kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor didakwa telah “menyembelih” atau mengkhianati UMNO Sabah.
Zulkarnain juga mengingatkan kembali Bung Mokhtar mengenai insiden selepas beliau dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah namun beberapa jam akhirnya ditukarkan sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.
“Persoalannya kenapa jawatan Bung Mokhtar ditukar hanya selepas beberapa jam mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah.
“Siapa yang kerap kali membuat ugutan untuk menarik sokongan keluar daripada kerajaan GRS-BN sebelum ini malahan rancangan kudeta pada awal Januari 2023 untuk menggulingkan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya lagi.
Zulkarnain turut mengingatkan Bung bahawa jawatan menteri kanan Sabah, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan lain-lain diberikan kepada UMNO sedangkan berbanding saki-baki diberikan kepada wakil rakyat GRS.
“Pertanyaan saya kepada Bung, siapa sebenarnya mangsa buli, Hajiji atau Bung, GRS atau UMNO Sabah?” soalnya. – MalaysiaGazette
















