Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu bersama Naib Presiden Amanah Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa pada hari terakhir Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2023 di Wyndham Acmar, Klang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 24 DISEMBER 2023.

KLANG – Timbalan Presiden Amanah yang baharu dipilih, Datuk Seri Mujahid Yusof berjanji untuk bekerjasama dengan Datuk Seri Mohamad Sabu yang dilantik semula sebagai Presiden Amanah demi memastikan parti terus dihormati oleh rakan dan lawan.

Dalam ucapan sulung sebagai timbalan presiden pada Konvensyen Amanah 2023 hari ini, Mujahid berkata, pemilihan yang berlaku hari ini merupakan satu proses untuk memberi kekuatan kepada parti secara dalaman dan luaran.

“Saya dan presiden kekanda saya, kebetulan kedua-duanya dari Pulau Pinang dan kebetulan nama bermula M. Dua-dua Datuk Seri.

“Tapi yang apa penting kami telah berjanji dalam keputusan yang penting kita semua bersetuju pastikan Amanah berada di persada politik tanah air, dihormati musuh dan kawan. Itu azam bersama.

“Selesai sudah semua proses, saya sarankan bekerja untuk pastikan Amanah berada di persada. Semua sayap telah diberi isyarat oleh perwakilan. Insya-Allah kita gerakkan selepas ini, akan sampai ke destinasi, sukar tetapi kena ingat Allah ingatkan bendar sukar itu hasil yang berbaloi,” katanya.

Dalam pemilihan hari ini, Mujahid mendapat tempat keempat daripada 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional dengan 699 undi manakala Mohamad Sabu di tempat kelapan dengan 613 undi.

Kesemua 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah yang baharu termasuk bermesyuarat lebih dua jam bagi memilih presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden Amanah yang baharu.

Mujahid berkata, keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa itu berpandu dan bersandarkan kepada konsep rahmah yang dipegang oleh parti tersebut.

“Tak kira berapa undi yang terima namun perwakilan telah nyata hasrat dan kami menghormati setiap undi yang diberi,” kata beliau yang bertegas kesabaran menjadi kunci kejayaan parti itu.-MalaysiaGazette