Wan Salim.

GEORGE TOWN – “Polemik membabitkan isu Ashabul Kahfi tidak perlu diperbesarkan sehingga menimbul kekeliruan dalam kalangan rakyat negara ini,” kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Jelas beliau, disebabkan istilah Kristian maka seluruh Malaysia riuh rendah selain pelbagai pihak memberi respons dan komen yang bercampur baur antara input akademik serta politik.

“Punca kekeliruan berkaitan isu ini adalah kerana istilah Kristian yang digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan beliau apabila merujuk kepada Ashabul Kahfi.

“Bagi mereka yang tidak atau kurang mendalami ilmu perbandingan agama dan sejarah nabi-nabi a.s. maka sudah tentu sukar bagi mereka memahami isu ini secara jelas.

“Ia sebenarnya berkait dengan akidah tauhid yang diyakini oleh tujuh pemuda yang berlindung di dalam sebuah gua demi untuk memelihara dan mempertahankan keyakinan tersebut,” katanya dalam kenyataan media.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, kawasan Timur Tengah pada ketika itu dalam pemerintahan Rom Timur yang juga dikenali sebagai Empayar Byzantium sedangkan agama empayar ini adalah Paganime.

Katanya, para ulamak tafsir dan ahli-ahli sejarah berbeza pandangan tentang zaman kejadian ini.

“Ramai yang berpendapat ia berlaku sebelum kelahiran Nabi Isa dan ada yang berpendapat ia berlaku selepas kelahiran Baginda.

“Susulan perbezaan pandangan ini maka berbezalah pula tentang agama mereka. Jika peristiwa ini berlaku sebelum kelahiran Nabi Isa maka sudah tentu mereka bukan beragama Kristian.

“Begitu sebaliknya jika peristiwa ini berlaku setelah Nabi Isa lahir maka logiknya mereka beragama Kristian iaitu agama yang dijenamakan sempena nama beliau Jesus Christ menurut sebutan orang Barat,” katanya.

Tambah Wan Salim, perlu diketahui daripada perspektif Islam, sekalian Rasul Allah adalah menyeru kepada agama yang sama iaitu Islam dalam pengertiannya yang umum, menyerah kepada kehendak Allah SWT berpaksikan kepada akidah tauhid.

Bagaimanapun, jelas beliau, dalam perjalanan sejarah yang lama maka berlakulah penyelewengan terhadap ajaran Tauhid yang dibawa oleh nabi-nabi tersebut.

“Merujuk secara khusus kepada agama Kristian, penyelewengan daripada akidah tauhid bermula dengan Persidangan Nicean yang berlangsung di bandar Nicea di Asia Kecil (Turkiye kini) pada tahun 325 Masihi.

“Di situ Emperer Konstantin telah mempengaruhi keputusan persidangan tersebut dengan tujuan untuk kompromi antara agama Kristian dengan fahaman Pagan yang menjadi agama rasmi pemerintahan Rom Timur ketika itu.

“Maka mulai saat itu berubahlah akidah tauhid yang dibawa oleh Nabi Isa lalu menjadi doktrin Triniti seperti yang dipegangi oleh para penganut agama Kristian sehingga ke zaman kini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast