KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut akibat disengat tebuan tanah ketika sedang melakukan aktiviti sukan permotoran berhampiran Felda Tenang di Hutan Simpan Jalan Temayong, Labis, Segamat, Johor, semalam.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Pusat Gerakan Operasi (PGO) negeri menerima panggilan kecemasan tentang kejadian itu melalui talian MERS999 pada jam 2.24 petang
Katanya, Pasukan Bomba daripada BP Labis telah digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera sejurus panggilan diterima dan Komander Operasi, PBK II Hairisyah Wahid melaporkan terdapat seorang lelaki berusia 42 tahun telah di sengat tebuan tanah ketika sedang melakukan aktiviti sukan permotoran.
“Namun, tidak lama selepas itu mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM dari Klinik Kesihatan Labis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, anggota bomba telah mengeluarkan mangsa dari kawasan kejadian dan menyerahkan mayat mangsa kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette