KUANTAN – Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihatkan untuk segera berpindah ke pusat pemindahan jika diarahkan oleh pihak berkuasa.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga terjamin daripada sebarang bentuk musibah yang lebih besar seperti kehilangan nyawa.
Beliau berharap penduduk sentiasa berwaspada pada musim tengkujuh isusulan peningkatan jumlah hujan serta kejadian banjir yang berlaku di beberapa kawasan di Pahang.
”Saya juga mengingatkan agar rakyat negeri tidak turun ke sungai untuk menangkap ikan kerana kita bimbang kejadian-kejadian yang tidak diduga boleh berlaku.
“Kepada mereka yang telah berpindah ke pusat-pusat pemindahan, saya berharap anda semua terus bersabar dan insya-Allah segala keperluan di sini telah pun disediakan.
“Kepada pasukan penyelamat dan pasukan keselamatan, teruskan khidmat bakti demi memastikan keselamatan rakyat negeri ini terjaga dan saya menghargai pengorbanan yang telah dicurahkan oleh anda semua,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berharap rakyat di negeri ini diterus dilindungi ini daripada sebarang bentuk bencana dan malapetaka. – MalaysiaGazette