KUALA LUMPUR – Pejabat Satelit Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Pasir Mas, Kelantan akan ditutup sementara bermula hari ini, 26 Disember 2023 (Selasa) hingga 31 Disember 2023 (Ahad) berikutan pejabat tersebut telah dinaiki air dan berlakunya tanda-tanda peningkatan paras air melibatkan kawasan-kawasan sekitarnya.
Penutupan sementara ini juga dilaksanakan bagi membolehkan segala urusan pemindahan dan pembersihan dapat dilakukan sewajarnya demi menjamin keselesaan para pelanggan.
Pejabat Satelit ini dijangka beroperasi pada 1 Januari 2024 (Isnin).
Menurutnya, Pejabat Satelit Hulu Terengganu, Terengganu turut akan ditutup sementara bermula hari ini, 26 Disember 2023 (Selasa) sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan.
Langkah ini berikutan laluan serta akses utama ke pejabat ini telah ditutup oleh pihak berkuasa negeri berikutan musibah banjir yang berlaku di kawasan-kawasan sekitarnya yang turut sama menjejaskan pergerakan para penduduk di kawasan tersebut.
Sehubungan dengan itu, bagi menjamin kelancaran urusan percukaian, para pembayar cukai adalah digalakkan untuk menggunakan e-Perkhidmatan yang telah disediakan sebagai alternatif lain selaras dengan pelaksanaan penggunaan e-Perkhidmatan secara mandatori bermula 1 Januari 2024.
Sebagai rujukan tambahan kepada pembayar cukai, panduan penggunaan e-Perkhidmatan boleh diakses melalui Portal MyTax di pautan https://mytax.hasil.gov.my/ > Panduan Pengguna.
Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:
a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
– MalaysiaGazette