Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Chow Kon Yeow dan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir K. Pathmanathan meletakkan jawatan serta memohon maaf atas isu gangguan bekalan air yang kerap berlaku sejak belakangan ini.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, rakyat Pulau Pinang mulai berdepan dengan isu gangguan bekalan air luar jangka beberapa hari berturut-turut pada Disember ini selepas pengumuman Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mengenai gangguan bekalan air selama 96 jam pada Januari tahun depan akibat kerja pembaikan.

“Namun gangguan bekalan air berlaku di beberapa kawasan di bahagian pulau dan Seberang Perai akibat kerja pembaikan yang dijalankan PBAPP pada 7 Disember lalu.

“Kemudian 18 Disember lalu, berlaku lagi gangguan bekalan air di beberapa kawasan di bahagian pulau dan Seberang Prai Utara akibat kejadian paip pecah di dasar Sungai Perai.

“Kerja pembaikan ini pada asalnya dikatakan akan selesai dalam tempoh dinyatakan namun ia berlanjutan sehingga perayaan Hari Natal masih ada kawasan yang mengalami gangguan bekalan air,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Tong Keong berkata, adalah keterlaluan bagi PBAPP mengambil masa selama seminggu untuk kerja pembaikan paip air.

“Rakyat kini mula berasa risau sama gangguan air akan berlaku pada hari tahun baru selepas mereka mengalami pengalaman ini.

“Malah penduduk kini tidak yakin bahawa kerja pembaikan mega dijangka bermula Januari depan dapat diselesaikan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu empat hari kerana ia mungkin akan mengambil masa lebih lama sehingga 14 hari.

“Sekiranya Kon Yeow dan Pathmanathan tidak mampu menjalankan tugas, maka adalah lebih baik mereka letak jawatan serta beri peluang kepada individu yang berkebolehan bagi kedua-dua jawatan itu.

“Ia bukan sahaja untuk meningkatkan kecekapan PBAPP malah dapat mengelakkan rakyat Pulau Pinang daripada mengalami gangguan bekalan air yang berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.