Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto MUHD NA’IM,25 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Tiga anggota polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditahan membantu siasatan selepas didakwa mengambil wang RM85,000 milik seorang peniaga semasa operasi menangkap Pendatang Asing Tanpa Izin pada 21 Disember lalu akan disambung reman.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tempoh reman selama empat hari ke atas mereka akan tamat hari ini.

“Reman ke atas tiga anggota PGA itu akan tamat hari ini maka kita akan meminta untuk sambung reman ke atas mereka bagi membantu siasatan lanjut polis,” katanya dalam sidang media khas kejayaan narkotik di Menara 1 Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan kes tersebut yang menarik perhatian umum rakyat di media sosial.

Ayob Khan bagaimanapun menjelaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur dalam soal tersebut meskipun ia membabitkan anggota PDRM.

Beliau juga menjelaskan, pihaknya buat serbuan tangkap PATI pada 21 Disember lalu sebelum menerima maklumat berlaku insiden membabitkan tiga anggota PGA itu dengan kehilangan wang milik peniaga di tempat serbuan.

“Kita terus siasat dan buat tangkapan ke atas mereka pada hari yang sama, jadi tidak ada sebarang isu hendak lindungi aggota atau pegawai kita.

“Kita takkan bertolak ansur… kalau ada pegawai kita yang ditahan, kita akan menjalankan siasatan dan kalau ada asas akan tangkap mereka kita tidak akan melindungi pegawai atau anggota kami.

“Pada 2022, Narkotik ada juga tangkap bekas Ketua Narkotik Superintendan, Deputi Superintendan dan Asisten Superintendan serta dua inspektor atas salah laku, jadi ini bukti kami tidak tolak ansur cuma tidak diuar-uarkan di luar tetapi diambil tindakan,” katanya lagi.

Pun begitu, katanya, kes membabitkan tiga anggota PGA ditangkap itu tidak akan melemahkan semangat meneruskan operasi yang akan dilancarkan terhadap penempatan warga asing di negara ini.

“Ia (tangkapan PGA) bukan alasan untuk kita menghentikan operasi ke atas warga asing lepas ini, sebaliknya kita akan teruskan tindakan operasi,” tegasnya.

Ketua Polis Kuala Lumpur dalam kenyataan pada Ahad lalu telah mengesahkan tentang tangkapan reman empat hari ke atas tiga anggota PGA yang sedang disiasat atas dakwaan mengambil wang RM85,000 semasa serbuan dan tangkapan 1,101 PATI di Jalan Silang kawasan Kota Raya di ibu negara pada petang 21 Disember lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast