Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi-manda bersama adik dan rakannya di Sungai Tok Hakim, di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kehilangan Muhammad Harraz Ilman Mohd Syahril Redhuan pada 4.46 petang.

Beliau berkata, sejumlah 19 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk enam daripada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Menurut saksi kejadian, mangsa bersama adik lelakinya Muhammad Firas Wafiy yang berusia sembilan tahun dan seorang rakannya mandi-manda di sungai ini sejurus selepas waktu Asar.

“Muhammad Firas Wafiy serta rakannya berjaya diselamatkan namun mangsa yang dihanyutkan arus deras gagal ditemukan orang awam menyebabkan mereka menghubungi bomba,”  katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Rozizah juga berkata, operasi SAR bermula pada 5 petang dengan kekuatan lima jentera dan sebuah bot. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast