Melalui PharXma Loc pesakit akan menerima kata laluan dan nombor loker daripada pihak farmasi untuk membuka loker berkenaan bagi mendapatkan ubat yang telah dipesan.

JOHOR BAHRU –  Pesakit yang memerlukan ubat secara berkala di Hospital Pakar KPJ Johor kini tidak perlu lagi beratur untuk mendapatkannya kerana telah disediakan perkhidmatan Pharma-loc.

Pharma-loc merupakan satu sistem di mana semua ubat susulan yang diperlukan pesakit akan diletakkan dalam loker khas yang disediakan dan boleh diambil pada bila-bila masa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Haliza Khalid, perkhidmatan penyerahan ubat di peti loker seperti Pharxma-loc adalah yang pertama di hospital swasta di Johor dan dikelolakan oleh jabatan farmasi hospital berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi KPJ Healthcare Berhad, Farid Salim (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Selatan, Mohd Azhar Abdullah (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Johor Specialist Hospital, Haliza Khalid ketikan melancaran Pharxma Loc KPJ Johor Specialist Hospital di Johor Bahru hari ini.

Melalui perkhidmatan yang sama, pesakit tidak perlu ke kaunter farmasi untuk menunggu giliran.

“Dengan teknologi terkini melalui pemerkasaan pendigitalan dalam sektor kesihatan pesakit boleh menghubungi Klinik Pakar Perubatan untuk membuat pesanan ubat yang diinginkan dan pesakit akan menerima makluman sistem pesanan ringkas.

“Selain itu pesakit akan menerima kata laluan dan nombor loker daripada pihak farmasi untuk membukanya bagi mendapatkan ubat yang telah dipesan,” katanya semasa pelancaran PharXma-Loc di KPJ Johor Specialist Johor Bahru hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Pegawai Operasi KPJ Healthcare Berhad, Datuk Mohd Farid Salim.

Menurut Haliza lagi, pesakit yang layak menerima perkhidmatan itu adalah pesakit yang memahami terapi perubatan sendiri, stabil serta memahami cara pengambilan ubat yang betul.

Selain itu, ia juga dapat memastikan kepatuhan kepada rawatan ubat yang diberikan dan perkhidmatan ini ditawarkan kepada semua pesakit yang menerima rawatan di hospital serta menerima perskripsi jangka masa panjang dengan syarat-syarat tertentu.

“Saya amat berharap agar perkhidmatan ini digunapakai oleh semua pesakit yang memerlukannya. Sekiranya mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pesakit untuk menggunakan perkhidmatan itu pihak hospital akan menambah bilangan loker yang sedia ada.” katanya  lagi.

Setakat ini, terdapat 32 loker telah disediakan dan beliau berharap bilangan tersebut akan bertambah dari semasa ke semasa.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan ini boleh mendapatkan maklumat lanjut di talian 07 – 225 3000 atau  010 – 544 2692 serta e mel di [email protected].

Masa pengambilan ubat tersebut adalah setiap hari termasuk cuti umum. – MalaysiaGazette