Datuk Mohammad Abdullah, Ketua Penerangan Gabungan Penjaja Kecil Melayu Malaysia ketika sidang media Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Melayu Malaysia dan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan mengenai isu pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Foto NUR SYADILA AMARI, 28 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Gabungan Penjaja Kecil Melayu Melayu Malaysia (GPKMMM) mempersoalkan agenda di sebalik cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) oleh Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai baru-baru ini.

Ketua Penerangan GPKMMM, Datuk Mohamad Abdullah berkata, ini kerana cadangan tersebut tidak sensitif kepada sesuatu kaum lain yang boleh menimbulkan rasa keliru dan tidak puas hati.

“Isu pilihan raya PBT nampak tidak banyak tetapi kalau dikumpul akan jadi beban kepada kerajaan dan persatuan pula akan dipaksa untuk pergi mengundi

“Apa yang ada sekarang dibuat Kerajaan Madani sudah memadai dan kami akan terus menyokong

“Ini apa agenda Pilih Raya PBT ini, kami pun tidak faham kerana ia tidak ada sensitiviti kerana ia penting kerana kalau kita tengok teras Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

“Ini kerana cadangan ini akan menyebabkan  sesuatu kaum akan rasa tidak puas hati gara-gara teras Rukun Negara telah dilanggar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sidang media di hadapan Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini hari ini.

Datuk Mohammad Abdullah, Ketua Penerangan Gabungan Penjaja Kecil Melayu Malaysia ketika sidang media Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Melayu Malaysia dan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan mengenai isu pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Foto NUR SYADILA AMARI, 28 DISEMBER 2023.

Baru-baru ini, Kok Wai dalam Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan mencadangkan supaya mengembalikan Pilihan Raya PBT sebagai usaha bagi memperkukuh demokrasi di Wilayah Persekutuan.

Namun, cadangan itu telah dibantah oleh PAS yang menyifatkan cadangan itu berbahaya dan boleh menyebabkan monopoli kaum disebabkan pecahan populasi mengikut kaum tidak seimbang khususnya di Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Pilihan Raya PBT sudah dimansuhkan sejak tahun 1976.

Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan pilihan raya itu tidak sesuai diadakan kerana ia membuang masa dan menelan perbelanjaan besar selain setiap Parlimen terutama di Wilayah Persekutuan telah diwakili oleh Ahli Parlimen.

Jelas beliau, di bawah Parlimen itu, terdapat pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dapat menyuarakan pandangan kepada Ahli Parlimen masing-masing.

“Pilihan raya PBT juga tidak sesuai kerana kita pun tahu Datuk Bandar Kuala Lumpur dilantik oleh kerajaan atas perkenan Yang Di-Pertuan Agong.

“Jadi tiada isu untuk diadakan pilihan raya itu dan kami tidak akan sokong.

“Jadi kita jangan buang masa dan perlu belanja besar serta beri kesusahan kepada rakyat sedangkan kita tahu rakyat ada yang kais pagi, makan pagi ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette