KUALA LUMPUR – Harga eksport Malaysia pada November 2023, meningkat 2.0 peratus daripada 146.4 mata pada bulan sebelumnya kepada 149.3 mata.

Tetapi, harga import menurun 0.8 peratus daripada 131.3 mata kepada 130.2 mata manakala terma perdagangan Malaysia pula bertambah 2.9 peratus bulan ke bulan kepada 114.7 mata pada November 2023

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport menokok 2.0 peratus pada November 2023 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+11.0%), bahan mentah tidak boleh dimakan (+1.1%) dan makanan (+0.5%).

Pada masa yang sama, indeks volum eksport jatuh 5.1 peratus selaras dengan kejatuhan indeks alat jentera & kelengkapan
pengangkutan (-7.4%), minyak galian (-5.1%) dan pelbagai barang keluaran kilang (-5.0%).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim naik secara marginal 0.05 peratus, kekal pada 155.8 mata.

Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit naik 0.4 peratus manakala indeks volum jatuh 6.2 peratus.

Indeks nilai seunit import menurun 0.8 peratus pada November 2023, disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian (-2.9%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-0.9%) dan bahan kimia (-0.2%).

Indeks volum import turut jatuh 2.3 peratus pada November 2023 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kejatuhan dalam indeks minyak galian (-15.2%), bahan mentah tidak boleh dimakan (-7.2%) dan makanan (-3.2%). Indeks volum import pelarasan bermusim
merosot 3.8 peratus daripada 197.0 mata kepada 189.4 mata.

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import berkurang 2.2 peratus manakala indeks volum naik 4.2 peratus.

Di samping itu, terma perdagangan Malaysia menokok 2.9 peratus bulan ke bulan kepada 114.7 mata pada November 2023, didorong oleh peningkatan indeks minyak galian (+14.3%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+1.7%) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (+1.2%).

Begitu juga, terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun berkembang 2.7 peratus daripada 111.6 mata pada November tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast