GEORGE TOWN – Seorang kerani akaun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 133 pertuduhan pecah amanah wang sebuah syarikat penguji ketulenan emas berjumlah RM445,815 antara Oktober 2019 hingga Mei 2021.
Tertuduh, Teh Ya Ling, 41, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membacakan kesemua pertuduhan berkenaan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu memegang jawatan sebagai kerani akaun di syarikat berkenaan didakwa melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang syarikat berjumlah RM445,815 ke dalam akaun bank RHB miliknya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat berkenaan di Jalan Sungai dalam Daerah Timur Laut antara 18 Oktober 2019 hingga 31 Mei 2021.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 14 tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala tertuduh diwakili peguam, Teoh Kung Yu.
Ketika prosiding Jun Keong mencadangkan jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Ya Ling selepas mengambil kira jumlah kerugian syarikat berkenaan.
Bagaimanapun, dalam rayuan Kung Yu memohon mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 bagi kesemua 133 pertuduhan susulan jaminan itu akan dibayar menggunakan wang persaraan bapa kepada anak guamnya itu.
Selain itu, Kung Yu turut meminta mahkamah mempertimbangkan faktor berpendapatan Ya Ling sebulan RM2,800 yang perlu menyara bapanya berusia 81 tahun serta jaminan bukan berbentuk hukuman.
Sharmila kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM500 bagi setiap pertuduhan yang menjadikan keseluruhan sebanyak RM66,500 dengan seorang penjamin serta perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Kes akan disebut semula 9 Februari depan bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette