Logo Maqis

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 60 kilogram (kg) buah limau dari Pakistan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 kerana tidak mempunyai permit import dan sijil fitosanitasi sah, dua hari lepas.

Pengarah Maqis Selangor Mohd Sobri Md Hashim berkata, buah limau itu cuba dibawa masuk oleh sekumpulan warganegara Pakistan dan berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia sekitar pukul 7 malam.

“Perbuatan mengimport produk pertanian tanpa permit yang sah dari Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sijil fitosanitasi merupakan sijil kesihatan tumbuhan yang dikeluarkan oleh negara pengeksport sebagai perakuan atau pengesahan bahawa rawatan atau keperluan yang dinyatakan dalam permit import dipatuhi. – BERNAMA