KUALA LUMPUR – Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) membayangkan lebih ramai lagi pemain dan staf kelab itu yang bakal meninggalkan Harimau Selatan.
Menurut kenyataan baginda di ruang komen Instagram rasmi Johor Southern Tigers, JDT akan bergelar ‘underdog’ atau pasukan bukan pilihan pada musim depan.
“Underdog tahun depan, Akan ada ramai lagi yang keluar dari kelab. Proses berjimat. Stadium jarang penuh, RM10 aja tiket terbuka.
“Apapun, kita doa yang terbaik untuk kelab. Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong kami,” tulis TMJ.
Antara yang disahkan meninggalkan kelab termasuk ketua jurulatih Esteban Solari, Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr Leandro Pinero dari barisan kejurulatihan.
Pemain seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo turut meninggalkan JDT selepas lama berkhidmat.
Selain itu, lima pemain Harimau Selatan juga akan dipinjamkan ke pasukan luar bagi mendapatkan minit permainan lebih banyak iaitu Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli.
Musim ini, JDT melakar sejarah baharu apabila muncul pasukan pertama di Malaysia meraih ‘double invicible quadruple’ dan menjuarai Piala Sumbangsih, Piala Malaysia dan Piala FA. – MalaysiaGazette