Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Balu kepada pekerja kilang yang maut dalam insiden di tempat kerja, di Banting, Selangor, kelmarin layak menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menurut Perkeso, Nur Ahmad Yusoff Muei, 22, merupakan pekerja sepenuh masa di sebuah kilang plastik pada 12 Disember lalu dan mempunyai rekod caruman dan dilindungi menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Sehubungan itu, balu arwah yang sedang sarat mengandung tujuh bulan layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) daripada Perkeso.

“Bayaran berkala FOT ini akan diberikan kepada isteri arwah untuk sepanjang hayatnya, manakala bayi dalam kandungan pula layak menerima manfaat sama selepas dilahirkan dan sehingga mencapai usia 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama.

“Perkeso menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah dan semoga faedah ini berupaya membantu kelangsungan hidup mereka,” menurutnya menerusi kenyataan, hari ini.

Nur Ahmad meninggal dunia selepas terjatuh pada ketinggian tujuh meter di sebuah kilang di Bandar Mahkota, Banting, kelmarin ketika melakukan kerja-kerja pembersihan.

Mangsa telah diberi bantuan awal dan dikejarkan ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast