Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Tidak perlu untuk melantik pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah.

Lantaran itu, UMNO menyifatkan cadangan Ngeh Koo Ham tidak berpijak di bumi yang nyata bakal mencetuskan polemik yang tidak perlu dalam suasana harmoni rakyat pelbagai agama dan kaum selama ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, sejak merdeka, Mahkamah Syariah dikhususkan kepada rakyat beragama Islam.

Malah proses menambah-baik dan menaik taraf Mahkamah Syariah yang dilakukan sejak UMNO menerajui kerajaan sentiasa dibuat secara bertahap dan mengambil kira ruang lingkup kuasa yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.

Tegas beliau, sepanjang proses menaik taraf Mahkamah Syariah baik dari segi pentadbiran, kompetensi, emolumen dan penggajian hakim dan pegawai mahkamah syariah, bentuk dan tahap hukuman yang diperuntukkan di bawah kuasa Mahkamah Syariah, tidak pernah sesekali mengambil atau mencabuli hak warga bukan Islam.

Ini juga sejajar dengan peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai pemelihara dan pelindung kepada kesucian agama Islam sebagai Agama Persekutuan.

“Pada masa sama mengiktiraf kebebasan agama-agama lain untuk diamalkan di negara ini.

“Justeru, berikanlah kepercayaan dan keyakinan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam menentukan panel-panel yang bakal mengganggotai jawatankuasa ini kelak.

“Tentunya DYMM Tuanku Raja-Raja Melayu amat bijaksana dan pasti mengambil kira segala aspek termasuk bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam mengabsahkan terma-terma rujukan Jawatankuasa ini,” ujarnya dalam hantaran di Facebook.

Menurut Asyaf, apa jua dapatan jawatankuasa ini kelak pastinya akan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu setelah diteliti segala aspek yang terkait dengan Perlembagaan.

Malah jika ada sebarang cadangan yang melibatkan pindaan Undang-undang mahupun Perlembagaan sekalipun, tentu sekali prosesnya akan turut melibatkan ahli-ahli Parlimen bukan Islam yang punya kuasa untuk membahas, menyokong, meminda mahupun menolak cadangan-cadangan yang terkait dengan penggubalan undang-undang mahupun Perlembagaan.

Koo Ham yang juga Ahli Parlimen Beruas sebelum ini menyarankan kerajaan
melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.

Memetik kenyataannya menerusi FMT, beliau berkata, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Koo Ham juga mengingatkan Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan.

Maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast