pps

KUALA LUMPUR – Seramai 23,095 mangsa daripada 7,399 keluarga masih berlindung di 104 pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir di empat negeri setakat pukul 6 pagi tadi.

Portal Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan, sebanyak 53 PPS masih beroperasi di Kelantan yang menempatkan 19,716 mangsa banjir daripada 6,496 keluarga.

Malah, di jajahan Pasir Mas seramai 15,586 penduduk ditempatkan di 30 PPS; di Tumpat (3,231 mangsa, 10 PPS); Kuala Krai (734 mangsa, 11 PPS) dan Tanah Merah (165 mangsa, dua PPS).

Sementara itu di Terengganu, 3,022 penduduk daripada 810 keluarga berlindung di 37 PPS dengan 2,075 orang daripadanya ditempatkan di 26 PPS di daerah Dungun.

Di Hulu Terengganu, seramai 630 mangsa berada di tiga PPS; Kemaman (51 mangsa, dua PPS); Marang (91 mangsa, satu PPS); Setiu (37 mangsa, dua PPS) dan Kuala Terengganu (138 mangsa, tiga PPS).

Pada masa sama, 10 PPS dibuka di Pahang melibatkan 207 penduduk daripada 60 keluarga dengan dua PPS dibuka di daerah Jerantut membabitkan 42 orang, dan masing-masing satu PPS dibuka bagi daerah Kuantan merekodkan 69 orang; Bera (9), Rompin, (13) serta Maran (17).

Manakala, di Johor pula, tiga PPS dibuka bagi menempatkan 63 penduduk daripada 16 keluarga di daerah Segamat. – MalaysiaGazette