Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan menyelamatkan mangsa di lokasi kejadian. - Foto Ihsan JBPM Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Jalan Parit 8, Kampung Sungai Leman, Sekinchan, Selangor, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 6.24 pagi.

“Sebaik anggota tiba dilokasi mendapati, nahas membabitkan kereta Proton Wira dan Honda Civic yang terjunam ke dalam parit sedalam kira-kira satu meter.

“Pemeriksaan mendapati, terdapat enam mangsa dalam Proton Wira iaitu dua lelaki dan empat wanita. Dua lelaki berusia 50-an masing-masing berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan bomba.

“Namun seorang daripada mereka bagaimanapun disahkan meninggal oleh pasukan perubatan pada pukul 6.48 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manakala dua lagi wanita berusia 20 hingga 50-an dan dua kanak-kanak pula mengalami kecederaan ringan dan kesemua mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan orang awam dan bomba.

Terdahulu, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikejarkan ke lokasi kejadian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast